SANDAKAN, 14 APRIL– Jabatan Air Sabah memaklumkan bahawa gangguan bekalan air berjadual akan berlaku di seluruh kawasan Sandakan pada hari Isnin.sehingga kerja-kerja penyelenggaraan selesai.
Gangguan ini adalah berikutan penutupan sementara Loji Rawatan Air Segaliud bagi membolehkan kerja-kerja penggantian beberapa komponen utama dilaksanakan.
Antara kerja yang terlibat termasuk penggantian injap bersaiz 600 mm dan 800 mm seperti Sluice Valve, Check Valve serta Butterfly Valve bagi sistem Surge Vessel dan stesen pam air terawat.
Sehubungan itu seluruh kawasan Sandakan dijangka akan mengalami gangguan bekalan air. Pihak Jabatan Air Sabah memaklumkan bahawa pemulihan bekalan akan dilakukan secara berperingkat selepas kerja-kerja siap sepenuhnya.
Orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan ini.
Segala kesulitan yang dihadapi amatlah dikesali dan kerjasama semua pihak amat dihargai. Untuk maklumat lanjut pengguna boleh menghubungi Jabatan Air Sabah melalui saluran rasmi yang disediakan.
