PM UMUM PERUNTUKAN RM33 JUTA PERKASAKAN INFRASTRUKTUR PULAU BANGGI

sabahheadlines
2 Min Read

​KUDAT, 10 MEI– Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan pembangunan berjumlah lebih RM33 juta bagi mempercepatkan transformasi infrastruktur dan kemudahan awam di Pulau Banggi sekali gus memastikan wilayah terpencil itu tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.

​Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tersebut merangkumi pelaksanaan pelbagai projek kritikal termasuk naik taraf jalan raya, jambatan, jeti, serta fasiliti asas seperti klinik, balai polis dan asrama pelajar.

​Menurut beliau, langkah itu merupakan komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani isu mendesak penduduk setempat berkaitan bekalan air, akses kesihatan dan keselamatan yang memerlukan tindakan pantas di lapangan.

​”Meski Pulau Banggi jauh terpencil tidak sesekali akan saya biarkan ia terpinggir,” tegas Anwar ketika ditemui pada majlis santuni penduduk di Dewan Terbuka Kobong, di sini kelmarin.

​Menyentuh aspek pendidikan, Anwar menggesa sinergi antara pihak sekolah, pejabat pendidikan dan persatuan ibu bapa untuk merangka strategi luar biasa bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar di pulau berkenaan. Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan khusus demi memperkukuh sektor pendidikan di kawasan itu.

​Dalam kunjungan sama, beliau menzahirkan rasa bangga atas pencapaian Pusat NADI Pulau Banggi yang diiktiraf di peringkat global menerusi World Summit on the Information Society (WSIS) di Geneva.

Jelasnya, kejayaan itu membuktikan masyarakat luar bandar mampu bersaing di pentas dunia jika diberikan akses digital yang adil.

​Lawatan ini turut mengimbau memori peribadi Anwar yang telah memulakan usaha membina sekolah di pulau tersebut lebih tiga dekad lalu di mana kini fokus beliau beralih kepada pembangunan yang lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.

Share This Article