KOTA BELUD, 15 JUN – Penduduk Kampung Kerengbenai berdepan gangguan bekalan air selepas 15 unit meter air dilaporkan hilang dipercayai dicuri dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Menurut penduduk, mereka pada awalnya menyangka masalah ketiadaan air berpunca daripada gangguan bekalan sebelum mendapati meter air di beberapa rumah telah lesap.
Kejadian itu dikatakan bukan kali pertama berlaku di kampung berkenaan, malah insiden sama dilaporkan berulang sebanyak empat hingga lima kali sebelum ini. Namun kehilangan kali ini dianggap paling serius apabila melibatkan 15 unit meter air berbanding hanya satu atau dua unit dalam kejadian terdahulu.
Penduduk menyifatkan kejadian tersebut sebagai menyusahkan dan membebankan kerana menjejaskan urusan harian mereka, selain berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi membendung kegiatan kecurian berulang itu.
