KINABATANGAN, 8 Februari – Seorang lelaki warga asing dilaporkan hilang dan dipercayai dibaham buaya selepas keluar memukat ikan di sungai berhampiran kawasan ladang di Kinabatangan, sejak malam Khamis lalu.
Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 1.07 tengah hari berhubung kejadian tersebut di Estat Global, Kinabatangan, kira-kira 35 kilometer dari balai.
Menurut maklumat awal, mangsa dikenali sebagai Stefanus Martin, 48 tahun, lelaki warga Timor dilaporkan hilang sejak kira-kira jam 8 malam pada 6 Februari 2026 di kawasan Ladang Kompas Tenggara Sukau.
Difahamkan mangsa sebelum itu memaklumkan kepada rakan sekerja bahawa beliau keluar memukat ikan di sungai berhampiran lokasi kejadian namun tidak pulang ke rumah sehingga kini.
Usaha pencarian awal telah dilakukan oleh pengadu bersama beberapa pekerja ladang di sekitar tebing sungai namun mangsa gagal ditemui.
Hanya pakaian serta pukat ikan dipercayai milik mangsa ditemukan di lokasi kejadian.
Susulan laporan tersebut sepasukan lima anggota dari BBP Kinabatangan yang diketuai PBK I Mohamud Bin Punya telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), dengan kerjasama PDRM.
Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR sedang dijalankan.
Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Orang awam, khususnya penduduk dan pekerja ladang berhampiran sungai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan aktiviti di kawasan berisiko tinggi yang diketahui sebagai habitat buaya.
TAMAT
