LAHAD DATU 14 JUN– Isu kekurangan dan bebanan fasiliti perubatan di Sabah terus mendapat perhatian komuniti setempat.
Terbaru, Hospital Lahad Datu menerima suntikan perimeter baharu dalam rawatan kardiologi menerusi sumbangan mesin Holter Monitor oleh Dewan Perniagaan Tiong Hua Lahad Datu bersama Yayasan Tzu Chi Malaysia.
Inisiatif murni yang diumumkan dalam satu Majlis Makan Malam Kesyukuran di Dewan Sekolah Menengah Cina (SMC) Lahad Datu pada sabtu dijangka bakal memberikan impak besar kepada mutu diagnosis pesakit jantung khususnya dalam mendepani bebanan penggunaan peralatan sedia ada yang amat tinggi.
Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 330 orang tetamu itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Lahad Datu, Tan Cheng-Teng.
Turut hadir Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr. Esmar bin Hj. Abdul Hamidi, Ketua Yayasan Tzu Chi Malaysia/TIMA, Dr. Eddy Chan, Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua, Koh Ken-Leong, Setiausaha Dewan Perniagaan, Liaw Ka-Hua, Guru Besar SMC Lahad Datu, Ng Yew-Hong.
Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Lahad Datu, Tan Cheng-Teng dalam ucapannya menegaskan bahawa kesihatan merupakan paksi utama kepada pembangunan masyarakat yang sejahtera.
Menurutnya, inisiatif sumbangan ini dibuat setelah mengambil kira bebanan penggunaan mesin sedia ada di hospital yang ketika ini berada pada tahap yang amat tinggi.
”Mesin ini penting bagi memastikan perkhidmatan diagnosis pesakit jantung tidak terganggu sekiranya berlaku kerosakan atau penyelenggaraan pada aset sedia ada.
”Program kesihatan seumpama ini bukan sahaja memberi akses percuma kepada golongan B40, warga emas, dan OKU bahkan membawa mesej kemanusiaan yang mendalam.
” Kita berharap kolaborasi erat antara pihak swasta, NGO dan hospital kerajaan ini akan terus diperkukuh bagi melahirkan komuniti yang sihat dan penyayang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr. Esmar bin Hj. Abdul Hamid menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan berterusan pihak Dewan Perniagaan.
Beliau menjelaskan bahawa Mesin Holter Monitor berfungsi merakam aktiviti elektrik jantung secara berterusan selama 24 jam sekali gus membantu meningkatkan mutu diagnosis dan rawatan dengan lebih cekap.
”Hubungan baik yang telah lama terjalin antara persatuan dan pihak hospital telah banyak membantu meringankan beban serta memberi manfaat besar kepada ramai pesakit di Lahad Datu,” jelas beliau.
Sementara itu Ketua Yayasan Tzu Chi Malaysia / TIMA, Dr. Eddy Chan dalam ucapannya memaklumkan bahawa falsafah organisasi mereka sentiasa bertindak atas prinsip “Kasih Sayang dalam Tindakan Nyata”.
Beliau menyatakan misi Tzu Chi bukan sekadar merawat penyakit fizikal tetapi juga menyantuni emosi pesakit.
”Selain sumbangan alat perubatan, fokus utama persatuan kini adalah mempromosikan perubatan pencegahan bagi penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi,” ujarnya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Hokkien Lahad Datu dan pihak pengurusan SMC yang menyediakan ruang fasiliti sehingga program kesihatan komuniti berjalan lancar.
Untuk rekod, Persatuan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antarabangsa yang telah bertapak di Malaysia sejak tahun 1989.
Pertubuhan ini terkenal dengan gerak kerja aktif di kawasan pedalaman serta perkampungan atas air menerusi empat misi utama iaitu Kebajikan, Kesihatan, Pendidikan dan Pembinaan Budi Pekerti.
Di Sabah, sayap perubatan mereka iaitu TIMA (Tzu Chi International Medical Association) yang terdiri daripada doktor, jururawat, dan ahli farmasi berlesen bergerak aktif mengendalikan klinik bergerak, lawatan kesihatan di kawasan terpencil, bantuan perubatan dan pembedahan untuk pesakit miskin serta bantuan bencana.
Kesinambungan kepada misi kemanusiaan seramai 50 hingga 60 orang ahli Persatuan Tzu Chi dari Semenanjung dan Sabah dijadualkan bakal bergerak ke Kampung. Panji dan Kampung. Puyut.
Kehadiran rombongan itu adalah untuk melaksanakan misi khidmat kesihatan percuma serta program pencegahan penyakit yang telah direncanakan khusus bagi mendepani isu kesihatan penduduk setempat di kedua-dua kampung berkenaan.
