SANDAKAN, 14 JUN– Senator Datuk Anna Bell menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Asas Pemasangan dan Penyelenggaraan Paip yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSKE) Bahagian Sandakan dengan kerjasama rakan strategik NGO Belia.
Program ini merupakan salah satu inisiatif pembangunan modal insan yang memberi fokus kepada peningkatan kemahiran teknikal serta kebolehpasaran belia, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ 2.0).
Dalam ucapannya, Senator Datuk Anna Bell menegaskan bahawa pembangunan modal insan merupakan tunjang penting dalam melahirkan generasi belia yang berkemahiran, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
Beliau turut menekankan bahawa usaha memperkasa sukan, mengukuhkan ekonomi dan membela golongan belia akan terus diperkasakan demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Program seumpama ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada belia untuk meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan serta membina masa depan yang lebih cemerlang.
