SANDAKAN: 21 Julai- Kerajaan Negeri Sabah memulakan projek pemulihan menyeluruh di Tapak Pelupusan Sg Sibuga menerusi teknologi IGNIS 3R.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pemulihan tapak pelupusan sampah yang telah mati bukan sekadar menyelesaikan masalah lama, malah menjadi langkah penting ke arah pengurusan sisa pepejal yang lebih lestari dan bertanggungjawab serta mesra alam.
“Masalah tapak pelupusan sampah lama atau ‘dead landfill’ yang membelenggu negeri ini sejak sekian lama kini memasuki fasa baharu
“Masalah tapak pelupusan sampah mati seperti ini telah wujud dan menjadi beban warisan yang terus membelenggu kita sejak bertahun-tahun. Ia tidak kelihatan, tetapi memberi impak besar terhadap kesihatan, keselamatan dan penggunaan tanah,” katanya semasa Majlis Penyerahan Tapak Pembangunan Projek Pemulihan Tapak Pelupusan Sg Sibuga kepada SG Ignis (Sabah) Sdn Bhd di sini, hari ini.
Dr. Joachim berkata, tapak pelupusan bukan hanya kawasan buangan sampah semata-mata, tetapi juga mencerminkan kepesatan pembangunan, kepadatan penduduk serta cabaran pengurusan sisa yang semakin kompleks.
Setelah meneliti pelbagai cadangan teknologi sebelum ini, termasuk insinerator dan “waste-to-energy”,
beliau berkata, banyak yang tidak sesuai dengan keperluan sebenar Sabah dari aspek kos, logistik dan kebolehlaksanaan.
“Bukan semua yang nampak canggih itu sesuai dengan keadaan Sabah. Saya tidak boleh buat keputusan terburu-buru hanya untuk menunjukkan hasil segera tetapi membebankan generasi akan datang,” katanya.
Beliau menzahirkan keyakinan terhadap teknologi IGNIS 3R yang diperkenalkan SG Ignis Sabah kerana mampu merawat tapak pelupusan lama tanpa perlu pengasingan sampah, pembakaran terbuka, atau meninggalkan sisa yang kembali ke tanah.
“Ia mungkin bukan sistem yang sempurna, tetapi ini adalah solusi terbaik yang kita miliki pada ketika ini. Lebih membanggakan, ia diterajui oleh anak Sabah sendiri,” katanya merujuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif SG Ignis Sabah, Dr. Davina Markus.
“Saya merasa bangga kerana hari ini kita telah memberi peluang kepada anak tempatan Sabah untuk memimpin perubahan bertaraf dunia di negeri ini,” katanya.
Justeru, beliau menyeru pihak berkuasa tempatan, jabatan teknikal dan komuniti setempat untuk memberikan sokongan penuh agar projek ini menjadi perintis kepada kejayaan lebih besar dalam pengurusan sisa di Sabah.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Jamili Nais; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kinson; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew; ADUN Dilantik, Jaffari Waliam dan NGO tempatan.
Ends
