EMPAT CEDERA DALAM KEMALANGAN TIGA KENDERAAN DI LAHAD DATU

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU,3 SEPT – Empat individu cedera selepas tiga kenderaan terbabit dalam kemalangan di Jalan Markas 13 Briged Infantri berdekatan Markas Briged ESSCOM, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.21 tengah malam itu, kenderaan yang terlibat ialah Toyota Vios, Proton Saga BLM dan Proton Wira.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa bin Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 12.21 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu tiba di lokasi empat minit kemudian.

“Seramai empat mangsa terbabit dalam kemalangan itu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan.

“Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam manakala dua lagi dibawa ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Lahad Datu.

Katanya, identiti kesemua mangsa belum diperoleh.

“Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain yang boleh mendatangkan risiko.

“Selepas keadaan didapati selamat dan terkawal. operasi ditamatkan pada jam 12.45 tengah malam,” katanya.

Operasi diketuai PBK I Mohd Su’Ait bin Mohamad membabitkan lapan anggota BBP Lahad Datu dengan bantuan PDRM dan KKM.

Share This Article