KAPAL NELAYAN VIETNAM DITAHAN

sabahheadlines
2 Min Read

KUDAT (21 JULAI): Lagak samseng vesel nelayan Vietnam ternyata membawa padah.

Sesudah didapati menceroboh perairan negara, vesel itu cuba merempuh aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi meloloskan diri.

Aksi kejar-mengejar hampir 15 minit itu menyaksikan anggota Maritim terpaksa bertindak dengan melompat masuk dan menghentikan vesel itu, kata Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata, vesel terbabit dikesan kira-kira jam 4.00 pagi di lokasi sekitar 1.22 batu nautika tenggara Tanjung Bukit Pulau Malawali hasil maklumat awam yang diterima.

Katanya, aset rondaan Maritim Kudat iaitu bot CENDERAWASIH 10 yang menjalankan operasi OP SEJAHTERA / OP PLUTO TIMUR 2/2013 / OP CEGAH PATI 1/2022 / OP TIRIS 3.0 / OP NAGA TIMUR telah diatur gerak ke lokasi untuk melakukan pemantauan dan tindakan lanjut.

“Sebaik dikesan, suspek bertindak agresif dengan memotong haluan aset Maritim dari bahagian kiri dan kanan serta enggan memberikan kerjasama ketika diarahkan berhenti.

“Malah, suspek juga bertindak nekad cuba merempuh bot Maritim Malaysia yang sedang cuba merapat ke vesel terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, helah tersebut gagal apabila berlaku aksi kejar-mengejar selama hampir 15 minit sebelum anggota Maritim berjaya melompat ke atas vesel terbabit dan menghentikannya.

Pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut disyaki terlibat dalam aktiviti penundaan dan penangkapan balat secara haram berdasarkan penemuan lebih 40 kilogram balat dan kira-kira 300 liter diesel yang dibawa di dalam bot.

Lima individu warga Vietnam berusia antara 28 hingga 39 tahun ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua yang ditahan bersama bot serta hasil laut dibawa masuk ke jeti untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dan peralatan yang digunakan dianggarkan melebihi RM2 juta.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.

Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada komuniti maritim di sekitar Kudat atas kerjasama berterusan dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim.

TAMAT

Share This Article