MURID TAHUN 4 HARUMKAN NAMA SABAH , VISION PRIMARY SCHOOL RANGKUL ANUGERAH POSTER TERBAIK DI SINGAPURA

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 27 APRIL – Vision Primary School Sandakan mencipta sejarah tersendiri apabila meraih Anugerah Poster Terbaik pada pertandingan Science Castle Singapore 2026 yang berlangsung di Woodlands Library, Singapura.

Pertandingan Science Castle merupakan platform sains peringkat Asia yang diasaskan di Osaka, Jepun dan lazimnya disertai pelajar sekolah menengah serta sekolah tinggi.

Justeru penyertaan dan kemenangan murid sekolah rendah dari Sabah itu dianggap satu pencapaian luar biasa.

Pasukan dari Vision Primary School berjaya menewaskan peserta lebih berusia dari seluruh Asia Tenggara menerusi projek penyelidikan bertajuk “Adakah Guano Burung Walit Alternatif Lestari kepada NPK 15–15–15 dalam Mengurangkan Larian Bahan Kimia dalam Tanaman?”.

Kajian tersebut memberi tumpuan kepada penyelesaian pertanian lestari khususnya dalam mengurangkan kesan larian bahan kimia selain mempamerkan pemahaman saintifik yang kukuh dan relevan dengan situasi sebenar.

Menurut salah seorang juri Dr. Harish Handral, pasukan berkenaan menunjukkan tahap pembentangan yang cemerlang.

“Mereka petah, fasih dan berkeyakinan tinggi selain mampu menjawab setiap soalan dengan jelas serta menunjukkan pemahaman mendalam terhadap kajian,” katanya.

Pasukan itu dibimbing oleh penasihat Jennifer Lee dan dianggotai empat murid Tahun 4 iaitu Mavis Hon Shi Ya, Look Tze Shen, Hannah Chen Yi Thong dan Asher Tsang Huan Le.

Sementara itu Guru Besar Vision Primary School, Thien Lee Yee berkata kejayaan tersebut mencerminkan usaha berterusan pihak sekolah dalam membudayakan pemikiran kritis dalam kalangan murid.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen kami dalam memupuk pemikiran kritis serta semangat ingin tahu dalam kalangan murid,” ujarnya.

Kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah turut membanggakan negeri Sabah di pentas antarabangsa

Share This Article