Lelaki Ditahan Ugut Bunuh Ibu di Batu 2, Jalan Apas

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 8 Dis — Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengamuk dan mengugut untuk membunuh ibunya dalam satu kejadian di Batu 2, Jalan Apas, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa, seorang wanita warga tempatan berusia 58 tahun, berada di rumah sebelum didatangi suspek yang juga anak kandungnya.

Menurut beliau, suspek bertindak agresif selepas permintaannya untuk diberikan wang tidak dipenuhi, sehingga menumbuk dinding rumah dan mengeluarkan ugutan yang menakutkan mangsa.

“Akibat ugutan tersebut, mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan perkampungan Batu 2, Jalan Apas sekitar jam 3 petang, semalam.

ACP Jasmin berkata, suspek cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam parit sebelum polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum bagi memberkasnya.

Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Polis memandang serius sebarang bentuk ancaman jenayah, termasuk yang melibatkan ahli keluarga, dan tidak akan berkompromi terhadap perlakuan yang boleh menggugat keselamatan orang awam,” tegasnya.

TAMAT

Share This Article