SANDAKAN, 19 APRIL – Kira-kira 200 buah rumah kediaman atas air musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Kampung Bahagia, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 1.32 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira 16 minit kemudian pada jam 1.48 pagi selepas menempuh jarak sejauh 15 kilometer.
Menurut Komander Operasi, PgB Jasri Ab. Jal, kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal yang dibina rapat antara satu sama lain menyebabkan api merebak dengan cepat dan memusnahkan keseluruhan kawasan berkenaan.
“Operasi pemadaman berdepan beberapa cabaran termasuk laluan sempit yang menghalang pergerakan jentera, selain keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber air terbuka.
“Faktor angin kencang turut menyumbang kepada kebakaran merebak dengan pantas,” katanya.
.Operasi pemadaman melibatkan seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dan BBP Kinabatangan dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pasukan bomba menggunakan beberapa aliran hos sepanjang 400 kaki dengan enam pancutan air bagi mengawal kebakaran dengan sumber air diperoleh daripada lori tangki serta pili bertekanan milik sebuah kilang berhampiran.
Setakat ini kebakaran dilaporkan masih belum terkawal dan kerja-kerja pemadaman giat dijalankan. Tiada laporan mengenai mangsa dilaporkan ketika ini.
