EWON LANCAR RISE & S-SEED, PERKASA PEMBANGUNAN USAHAWAN SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,8 OGOS-Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick melancarkan Program RISE & S-SEED bagi memperkasa pembangunan usahawan di negeri ini.

Beliau berkata, program itu merupakan inisiatif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah.

“Saya menghargai inisiatif RISE – Resilient, Innovative SEDCO Entrepreneurs yang merupakan program bimbingan perniagaan (business coaching program) serta S-SEED – Strategic Entrepreneur Development Fund yang merupakan program pembiayaan keusahawanan.

“SEDCO memperuntukkan 10 peratus daripada keuntungan tahunannya bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu, di sini, semalam.

Ewon turut berkongsi mengenai inisiatif Kerajaan Sabah melalui MINDET berhubung penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera Sabah serta pembangunan polisi sokongan khas kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan Sabah yang mahu mengembangkan perusahaan mereka di taman-taman perindustrian, bermula di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).

Katanya, MINDET juga akan meneliti dan memperkenalkan program-program latihan keusahawanan yang lebih sesuai dengan keperluan serta cabaran yang dihadapi usahawan masa kini.

“Saya berharap 30 usahawan yang terpilih untuk menyertai Program RISE dan S-SEED ini dapat membangunkan produk untuk pasaran dunia, termasuk memiliki pensijilan halal serta pendaftaran dengan DIDR dan MATRADE,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan data pencapaian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara bagi 2025, sektor berkenaan menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, bersamaan RM689.8 bilion, selain menggaji sekitar lapan juta pekerja atau 48.7 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia.

Katanya, usahawan Sabah turut menyumbang kepada prestasi cemerlang sektor PMKS negara.

Hadir sama Pengerusi SEDCO Datuk Masiung Banah, Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Datuk Ar. James Wong Kein Peng, timbalan-timbalan setiausaha tetap MINDET serta ketua-ketua jabatan dan usahawan.

Share This Article