Vivian Wong Gesa KKM Percepat Kelulusan Naik Taraf Hospital Sandakan

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepat proses penilaian dan kelulusan peruntukan bagi memastikan projek naik taraf Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan dapat dilaksanakan tanpa terus tertangguh.

Beliau berkata, meskipun kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan bagi menaik taraf hospital kerajaan dan klinik kesihatan luar bandar di Sabah, pelaksanaan projek sering mengambil masa terlalu lama sehingga rakyat masih belum merasai sebarang peningkatan ketara terhadap kemudahan kesihatan.

Menurutnya, projek naik taraf HDOK Sandakan antara yang telah lama diumumkan namun masih belum menunjukkan perkembangan jelas kerana perlu melalui pelbagai peringkat penilaian dan kelulusan yang memakan masa bertahun-tahun.

Vivian menyuarakan perkara itu ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sambil menegaskan hospital berkenaan turut berdepan isu kekurangan peralatan perubatan, tenaga pakar serta perkhidmatan kesihatan mental yang terhad.

Beliau turut memaklumkan beberapa klinik kesihatan di kawasan padat penduduk di Sabah masih berdepan masalah kesesakan pesakit dan tempoh menunggu yang panjang.

Sehubungan itu, beliau berharap KKM dapat memberikan penjelasan lebih terbuka mengenai hala tuju serta penggunaan peruntukan Persekutuan yang disalurkan bagi menaik taraf kemudahan kesihatan di Pantai Timur Sabah.

TAMAT

Share This Article