SYARMILAH SALLEH
SANDAKAN (13 MEI): Polis di sini menahan dua lelaki dalam satu serbuan di sebuah pondok di Kampung Sundang Laut, Jalan Batu Sapi di sini petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Ahsmon Bajah berkata Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) menyerbu pondok di kawasan tersebut sekitar jam 5.00 petang yang dipercayai dijadikan sarang penagihan dadah.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan seterusnya ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
“Kesemua suspek kini ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut,katanya.
Ahsmon Bajah menegaskan pelaksanaan operasi ini adalah selaras dengan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras jenayah dadah di daerah ini.
“Polis akan terus memperhebatkan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan Sandakan bebas dari ancaman dadah,” katanya.
TAMAT
