CUBAAN SELUDUP MINYAK SAWIT MENTAH DIGAGALKAN

sabahheadlines
2 Min Read

SYARMILAH SALLEH

SANDAKAN (13 MEI): Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menumpaskan cubaan menyeludup minyak sawit mentah (CPO) dalam satu operasi berdasarkan maklumat risikan di Batu 25, Kampung Garinono, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata serbuan dijalankan pada jam 4.00 petang dan menahan sebuah lori jenis HINO berwarna putih di bahu jalan kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemukan enam (6) buah tangki plastik jenis ABC Tank berkapasiti 1,000 liter setiap satu, di mana tiga (3) daripadanya berisi minyak sawit mentah dianggarkan sebanyak 2,500 liter, serta satu (1) enjin pam minyak.

Pemandu lori, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun, gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau pemindahan bahan tersebut.

Kesemua barangan termasuk lori, tangki dan minyak sawit telah dirampas dan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk siasatan lanjut.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM143,000.00.

Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.

ACP Mohd Nazri Ibrahim menegaskan bahawa pihaknya akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang menjejaskan hasil negara.

“Pihak PPM akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan hotspot bagi memastikan kegiatan haram seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Orang ramai digesa untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.

TAMAT

Share This Article