TAWAU, 8 MEI – Tiga buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Titingan Laut, Blok 6 di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian itu, seorang wanita warga emas berusia 65 tahun dilaporkan mengalami sesak nafas dan menerima rawatan awal daripada Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 tengah hari sebelum sepasukan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Azlan Awang Ki berkata, pasukan bomba tiba di lokasi empat minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan tiga rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 200 x 100 kaki persegi yang terbakar 100 peratus.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera Water Tanker serta pili bomba berhampiran.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 2.06 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kebakaran itu bagaimanapun tidak merebak ke kawasan lain dan kira-kira 2,000 rumah kediaman berhampiran berjaya diselamatkan daripada turut terbakar.
Operasi turut dibantu Bomba Komuniti Titingan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
