SEMPORNA, 5 MEI- Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, Deputi Superintenden memaklumkan cubaan menyeludup rokok tidak bercukai berjaya dipatahkan dalam operasi di perairan daerah ini, awal pagi tadi.
Menurutnya, sekitar jam 4 pagi, sepasukan anggota PPM mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di Laut Balimbang sebelum bertindak mengejar kenderaan tersebut. Suspek bagaimanapun bertindak membuang beberapa objek ke laut ketika cuba meloloskan diri.
“Bot berkenaan kemudiannya melarikan diri ke kawasan perairan cetek sebelum menghala ke arah Laut Tanjung Manimpa dan berjaya melepaskan diri,” katanya.
Hasil pemeriksaan menemui dua guni berisi kira-kira 400 kotak rokok putih dipercayai tidak bercukai. Rampasan dianggarkan berjumlah 8,000 batang dengan nilai sekitar RM9,600.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, dan pihak polis menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras aktiviti penyeludupan di perairan negara.
