LAHAD DATU, 26 Disember 2025 – Polis Daerah Lahad Datu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menahan seorang wanita tempatan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi yang dijalankan di sebuah hotel di Jalan Seroja, di sini.
Tangkapan dilakukan hasil maklumat awam apabila sepasukan pegawai dan anggota BSJND IPD Lahad Datu melaksanakan Op Tapis kira-kira jam 10.50 pagi sebelum menyerbu sebuah bilik hotel dan menahan wanita berusia 37 tahun.
Pemeriksaan lanjut ke atas bilik berkenaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu selain sebatang straw yang telah diubah suai,ldipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkaitan penyalahgunaan dadah.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Berdasarkan semakan rekod lampau mendapati wanita berkenaan mempunyai rekod kesalahan terdahulu di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi itu mencerminkan komitmen berterusan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail bersama seluruh warga IPD Lahad Datu dalam membanteras dan mengekang jenayah dadah di daerah ini.
TAMAT
