SEMPORNA, 4 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya menggagalkan cubaan aktiviti pengeboman ikan selepas merampas sebanyak 23 guni baja amonia dalam satu operasi khas di perairan Pulau Bum Bum, petang kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kejadian kira-kira pukul 4 petang itu dikesan ketika bot ronda ADAL 18 menjalankan Ops Khas Cegah PATI (OCP) Sektor Timur dan Ops Tiris 3.0.
Menurut beliau, pasukan operasi telah mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.2 batu nautika di utara pulau berkenaan.
“Suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berenang ke daratan berhampiran bagi mengelakkan ditahan,” katanya.
Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut menemukan 23 guni baja amonia dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 575 kilogram, dipercayai digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan.
Amir Shubli menegaskan, kejayaan rampasan itu membuktikan komitmen tegas Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah yang memberi impak besar terhadap ekosistem marin.
“Penggunaan baja amonia sebagai bahan letupan bukan sahaja satu kesalahan jenayah, malah ia mampu memusnahkan terumbu karang dan hidupan laut dalam skala besar.
“Jika digunakan sepenuhnya, kesannya amat dahsyat dan mengambil masa yang lama untuk dipulihkan,” tegasnya.
Beliau turut menambah, usaha membanteras aktiviti bom ikan adalah penting bagi memelihara reputasi Semporna sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Sektor pelancongan merupakan nadi ekonomi Semporna. Keindahan biodiversiti marin menjadi tarikan utama pelancong dari seluruh dunia.
“Dengan mengekang aktiviti ini, kita melindungi sumber ekonomi penduduk setempat serta memastikan kelestarian perairan untuk generasi akan datang,” katanya.
Kesemua rampasan telah dibawa ke Jeti Kem Azumi, Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Bekalan 1961.
Dalam pada itu, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di laut melalui talian Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di 089-782619 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
