REVOLUSI 4.0 PENGGERAK PENDIDIKAN STEM DI SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

Oleh: Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 27 Sept – Cabaran Revolusi Industri 4.0 yang menuntut kepakaran dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan memperkasakan pendidikan generasi muda di sekolah rendah dan menengah.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Haji Mohammad Yusof Apdal berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya STEM & TVET Peringkat Kebangsaan 2025 di SMK Terusan, pagi tadi.

Menurut beliau, program yang menghimpunkan penyertaan sekolah dari seluruh negara termasuk dari Pantai Timur Sabah itu memberi peluang kepada pelajar mendekati dunia STEM dengan lebih praktikal,
sejajar dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0.

“Kalau dahulu pelajar hanya belajar secara teori di papan hitam atau papan putih tetapi hari ini mereka dapat menyaksikan sendiri bagaimana STEM diaplikasikan dalam dunia sebenar.

“Pendedahan ini bukan sahaja memupuk minat malah berpotensi melahirkan modal insan bertaraf global,” katanya.

Beliau turut menyatakan contoh bidang baharu seperti kejuruteraan cip dan teknologi dron yang kini dimanfaatkan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, perniagaan dan logistik.

Yusof berharap inisiatif sebegini terus diperkasakan khususnya di Pantai Timur Sabah agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat dalam membina masa depan negara.

Sementara itu Nurul Illyana binti Mohamad
Pengarah Program Karnival Pendidikan, Kerjaya, STEM dan TVET (KAPEJAS 3.0) Peringkat kebangsaan Tahun 2025 menzahirkan rasa bangga kerana program KAPEJAS 3.0 peringkat Kebangsaan dapat diadakan dengan jayanya.

” Hari ini merupakan hari kemuncak.. kita dapat mencapai sasaran 7,500 penglibatan dalam karnival ini daripada seluruh Malaysia samada penglibatan dalam bentuk secara dalam talian Dan juga bersemuka.

TAMAT

Share This Article