DOKUMEN WARISAN TARIK DIRI KERAJAAN PERPADUAN PALSU – MOHD YUSOF APDAL

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU.3 OGOS-: Kenyataan yang mendakwa Parti Warisan (WARISAN) menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan adalah palsu dan bukan kenyataan rasmi parti.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Haji Mohd Yusof bin Apdal berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan atau pengumuman rasmi dibuat oleh kepimpinan WARISAN berhubung perkara berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam turut menegaskan dokumen bertajuk “Parti WARISAN Menarik Diri Daripada Kerajaan Perpaduan” yang sedang tersebar di media sosial adalah palsu serta bertujuan mengelirukan rakyat.

Dalam kenyataan penafiannya, Mohd Yusof menyeru orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan spekulasi.

Menurutnya, sebarang pendirian atau keputusan rasmi Parti WARISAN hanya akan diumumkan melalui saluran komunikasi rasmi parti serta pimpinan yang diberi mandat.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi bagi membendung penyebaran berita palsu.

Share This Article