Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 14 NOV — Penyandang kerusi DUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi mengesahkan akan mempertahankan kerusi tersebut sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Beliau berkata, penghantaran kertas penamaan calon di Dewan Perdana pada pagi (sabtu) menandakan kesediaannya untuk terus mewakili Segama pada penggal seterusnya.
“Kita akan bertanding sebagai calon Bebas. Untuk orang Segama, kita mahu mempertahankan Segama supaya tidak jatuh ke tangan orang luar,” katanya ketika ditemui media.
Mohamaddin menegaskan bahawa sentimen penduduk setempat jelas menunjukkan kecenderungan untuk memilih calon anak tempatan.
“Pengundi Segama hanya mahu mengundi orang Segama. Kita sudah turun padang dan maklumat yang kita terima sangat jelas,” ujarnya.
Mengulas cabaran daripada calon parti lain, termasuk calon baharu Warisan, beliau menegaskan faktor “fresh candidate” bukan isu utama bagi pengundi.
“Dia mungkin calon baharu tetapi dia bukan orang Segama. Jadi saya tidak fikir beliau akan mendapat sokongan kuat dari pengundi di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamaddin berkata, sepanjang penggal pertama beliau sebagai ADUN Segama beberapa pembangunan telah dilaksanakan namun masih terdapat projek yang belum disempurnakan.
“Segama ialah kawasan baharu. Banyak keperluan pembangunan masih berjalan halfway through. Kalau kita menang dan dapat menyertai kerajaan,.. kita boleh membawa lebih banyak pembangunan untuk Segama,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa jentera di peringkat akar umbi sudah lama membuat persiapan menghadapi pilihan raya.
“Kita sudah bersedia sejak awal. Kita hanya menunggu masa untuk turun berjuang dalam pilihan raya,” katanya.
TAMAT
