GANGGUAN ELEKTRIK DAN AIR SANDAKAN DIJANGKA BERLANJUTAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 27 NOVEMBER-Gangguan bekalan elektrik yang melanda Sandakan sejak Khamis dijangka memberi kesan berterusan susulan kerja pembaikan infrastruktur penghantaran elektrik utama di kawasan Ranau yang dianggarkan mengambil masa antara enam hingga sembilan hari.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata gangguan itu berpunca daripada kejadian menara penghantaran elektrik utama tumbang akibat pergerakan tanah dan hujan lebat berterusan.

Kejadian berkenaan menjejaskan Talian Penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik di lapan daerah di Pantai Timur Sabah termasuk Sandakan.

Menurutnya, Sabah Electricity (SE) Sandakan sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik menggunakan stesen janakuasa tempatan di Libaran, Batu Sapi, Labuk, Seguntor dan Mowtas.

Bagaimanapun kapasiti janakuasa berkenaan masih terhad dan tidak mampu menampung keseluruhan permintaan pengguna menyebabkan catuan elektrik di beberapa kawasan tidak dapat dielakkan.

Gangguan itu turut menjejaskan operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) utama di Sandakan iaitu Segaliud, Kinabatangan, Sibuga dan Hilltop sekali gus menyebabkan pengeluaran serta pengagihan air terpaksa dicatu di beberapa kawasan.

Perkhidmatan internet juga berpotensi mengalami gangguan susulan ketidakstabilan bekalan elektrik.

Sehubungan itu, Walter meminta penduduk supaya bersabar, berjimat menggunakan air dan elektrik serta menyimpan bekalan air secukupnya bagi menghadapi kemungkinan gangguan yang berlarutan.

Beliau turut menggesa masyarakat memberikan perhatian kepada golongan memerlukan khususnya warga emas, orang kurang upaya, pesakit dan keluarga yang mempunyai bayi.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa simpati terhadap calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki peperiksaan ketika gangguan berlaku selain berharap ibu bapa dan masyarakat dapat membantu memastikan persediaan serta tumpuan mereka tidak terjejas.

JPBD Sandakan akan terus berhubung dengan SE Sandakan dan Jabatan Air bagi memantau perkembangan serta usaha pemulihan bekalan elektrik dan air di daerah itu.

Share This Article