KOTA KINABALU:12 Dis- Penjawat awam negeri bakal menerima Bantuan Khas Kewangan bersamaan sebulan gaji atau minimum RM2,000 menerusi Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata bantuan itu melibatkan 18,853 penjawat awam dengan implikasi kewangan berjumlah RM52.6 juta.
Pembayaran akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada Februari sebelum Aidilfitri dan sebelum Kaamatan 2026.
“Semua penjawat awam termasuk kakitangan kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian akan menerima bantuan ini. Pesara kerajaan juga akan menerima RM1,000 yang dibayar tahun depan,” katanya.
Masidi berkata perkhidmatan awam merupakan nadi pentadbiran kerajaan justeru Sabah turut memperuntukkan RM7.6 juta bagi meningkatkan pembelajaran berterusan dan RM16.85 juta untuk pembangunan sumber manusia di agensi kerajaan negeri.
Beliau membentangkan Belanjawan Sabah 2026 itu pada persidangan DUN, hari ini.
TAMAT
