LELAKI DITAHAN BERIKAN MAKLUMAT PALSU DALAM PERMOHONAN MYKAD

sabahheadlines
1 Min Read

RANAU, 2 Okt 2025 – Cubaan seorang lelaki menggunakan maklumat palsu bagi memperdaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi urusan permohonan MyKad memakan diri.

Suspek berusia 60 tahun itu ditahan sekitar jam 4.45 petang semalam di Pejabat JPN Daerah Ranau oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah.

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit pernah menjadi penganjur kepada dua permohonan MyKad pada 28 Mei 2020 dan 21 Februari 2022 menggunakan butiran tidak benar.

Tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan dokumen pengenalan diri negara.

Menurut kenyataan JPN Sabah, penahanan itu hasil risikan berterusan dan aduan yang diterima pihaknya.

“Langkah ini membuktikan kesungguhan JPN dalam membanteras sebarang bentuk penyalahgunaan identiti serta pemalsuan dokumen rasmi negara,” kata kenyataan itu.

Kes kini disiasat di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

JPN Sabah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba mempergunakan dokumen pengenalan diri untuk kepentingan tertentu.

“Pemalsuan dokumen rasmi bukan sahaja satu jenayah serius, malah berpotensi menggugat keselamatan negara serta ketenteraman awam,” tegas kenyataan itu.

TAMAT

Share This Article