KOTA KINABALU,12 Dis- Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Lahad Datu (BESS Lahad Datu), fasiliti penyimpanan tenaga terbesar di Asia Tenggara, sekali gus memperkukuh kestabilan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah.
Pelancaran yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan bekalan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu milik untuk rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata BESS Lahad Datu bukan sahaja terbesar di negara ini malah di Asia Tenggara.
“Fasiliti ini direka bagi meningkatkan kestabilan grid, mengurangkan kebergantungan kepada diesel dan menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Hajiji berkata, pelaksanaan BESS dan inisiatif lain adalah sebahagian daripada Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang berteraskan keselamatan tenaga, kos berpatutan dan kelestarian alam sekitar.
Beliau turut menyatakan bahawa peralihan kuasa regulatori kepada Sabah pada Januari 2024 membolehkan negeri menggubal dasar sendiri dan mempercepatkan projek tenaga di bawah kawal selia Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Setakat ini hampir 1,000 megawatt (MW) kapasiti baharu merangkumi hidro, solar dan angin telah diluluskan. Melalui bidaan Solar Skala Besar (LSS) tahun ini sebanyak 15 projek berkapasiti 199MW diluluskan 113MW di Pantai Barat dan 86MW di Pantai Timur.
Dengan tambahan projek sedia ada kapasiti LSS Sabah dijangka melebihi 350MW menjelang 2027 merangkumi 23 peratus daripada campuran penjanaan elektrik negeri.
Sebuah lagi projek LSSPV di Kota Marudu yang dijangka siap pada 2026 bakal terus meningkatkan kapasiti tenaga negeri.
Hajiji berkata teknologi penyimpanan tenaga perlu diperluas ke lokasi strategik bagi mengurangkan gangguan bekalan manakala Sabah Electricity kini bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dalam memperluas elektrifikasi luar bandar melalui SabahRE2.
“Kerajaan Negeri kekal komited membangunkan ekosistem tenaga yang selamat, futuristik dan mesra pelabur bersama Sabah Electricity, ECoS dan agensi Persekutuan,” katanya.
Pada majlis itu, Hajiji turut merakamkan tahniah kepada Sabah Electricity atas kejayaan meraih anugerah di Project Management Award (PMA) 2025 termasuk pengiktirafan terhadap projek BESS.
Turut hadir Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar.
TAMAT
