BAYI LELAKI DITEMUI DITINGGALKAN DEPAN RUMAH KOSONG DI SEMPORNA

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 13 MEI- Seorang bayi lelaki dipercayai berusia sekitar dua bulan ditemukan ditinggalkan di laluan pejalan kaki depan sebuah rumah kosong di Kampung Panji, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bayi itu kira-kira jam 8.16 pagi selepas dimaklumkan oleh orang awam.

Menurutnya, bayi berkenaan ditemukan dalam keadaan dibungkus dengan kain sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati bayi seberat kira-kira tiga kilogram itu berada dalam keadaan baik serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, seorang wanita warga asing berusia 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dengan niat membuangnya.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Share This Article