38 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI IMIGRESEN DI KUDAT DAN TAWAU

sabahheadlines
1 Min Read

KUDAT, 13 MEI- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 38 warga asing dalam siri operasi penguatkuasaan menerusi Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar yang dijalankan di Kudat serta Tawau.

Dalam operasi di Kudat, seramai 20 individu diperiksa dengan 15 warga Filipina ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tangkapan itu membabitkan tiga lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, operasi di Tawau menyaksikan pemeriksaan terhadap 56 individu dengan 23 warga asing ditahan, terdiri daripada warga Filipina, Indonesia dan seorang lelaki warga India.

Mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.

JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi.

Share This Article