Banjir Diisytihar di Beaufort, JPBD Aktifkan Pengurusan Bencana

sabahheadlines
1 Min Read

BEAUFORT, 3 Januari 2026 — Daerah Beaufort secara rasmi diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir susulan situasi banjir yang melanda daerah itu sejak petang ini.

Pengisytiharan berkenaan dibuat oleh Pegawai Daerah Beaufort merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohd Nazri bin Ajun, pada jam 5 petang selepas menerima laporan serta maklumat terkini daripada agensi-agensi terlibat di lapangan.

Menurut kenyataan rasmi JPBD, pengisytiharan tersebut dibuat bagi membolehkan tindakan pengurusan bencana dilaksanakan secara menyeluruh dan terkoordinasi termasuk pengaktifan pusat pemindahan sementara (PPS) serta penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas.

Pengurusan bencana ini diselaraskan oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah selain penglibatan agensi keselamatan dan penyelamat lain.

Orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada mematuhi arahan pihak berkuasa serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan.

JPBD Beaufort turut menggesa penduduk mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan panik awam.

TAMAT

Share This Article