KOTA BELUD, 16 MEI – Hasrat seorang abang menyelamatkan adiknya yang dihanyutkan arus deras berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas di sungai berhampiran kawasan perkhemahan Polumpung Melangkap Baru, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, Zul Hakim Abdullah, 23, ditemukan meninggal dunia manakala adiknya, Daniel Abdullah, 18, masih hilang dan sedang dikesan pasukan penyelamat.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, dua beradik terbabit dipercayai mandi bersama keluarga sebelum Daniel dihanyutkan arus sungai.
“Zul Hakim dipercayai terjun untuk membantu adiknya, namun kedua-duanya turut dibawa arus deras,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, operasi mencari dan menyelamat dimulakan sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan pagi tadi.
Menurutnya, mayat Zul Hakim ditemui kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
Operasi mengesan Daniel masih diteruskan dengan pencarian tertumpu di sekitar kawasan sungai berkenaan.
