Dapur Siswa UMS bantu 3,500 pelajar, Sabah seru sokongan GLC dan NGO

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 2 Jan 2026 – Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyokong inisiatif Dapur Siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diwujudkan untuk membantu pelajar kurang berkemampuan, khususnya dari luar bandar.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata inisiatif yang diperkenalkan sejak November lalu itu kini memberi manfaat kepada kira-kira 3,500 pelajar di dua kolej kediaman utama UMS, iaitu Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Mustafa.

Menurutnya, program berkenaan amat signifikan dalam meringankan beban pelajar ketika kos sara hidup dan harga makanan terus meningkat.

Sebagai sokongan awal, beliau bersama beberapa GLC di bawah kementeriannya telah menyalurkan sumbangan, termasuk sumbangan peribadi berjumlah RM30,000, bagi memastikan kelangsungan program berkenaan.

Kerajaan negeri, katanya, turut komited untuk memperluaskan pelaksanaan Dapur Siswa ke kampus UMS di Labuan dan Sandakan bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara.

Beliau turut menyeru lebih banyak GLC serta pihak berkemampuan agar tampil berganding bahu menyokong usaha murni itu, sama ada melalui sumbangan bahan mentah makanan atau bantuan kewangan.

TAMAT

Share This Article