KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh agenda pembangunan sukan menerusi penganjuran Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2023–2024 yang berlangsung penuh istiadat di Grand Ballroom, Magellan Sutera Harbour, di sini.
Majlis penghargaan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Aman sebagai pengiktirafan kepada atlet, jurulatih, pegawai serta persatuan sukan yang mencatat pencapaian cemerlang dan menyumbang kepada kemajuan sukan negeri.
Pelbagai anugerah utama disampaikan termasuk Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan, Olahragawan dan Olahragawati Sabah, Olahragawan dan Olahragawati Para, Anugerah Harapan, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik, Persatuan Sukan Terbaik, Wartawan Sukan serta Anugerah Khas.
Penganjuran majlis berprestij itu turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah dalam melahirkan bakat baharu, memperluas peluang sukan berprestasi tinggi serta menjadikan sukan sebagai pemangkin perpaduan dan pembangunan sosioekonomi selaras aspirasi Sabah Maju Jaya.
TAMAT
