Penunggang Motosikal Maut Bertembung 4WD di Lahad Datu

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 18 Mac-Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 32, Jalan Lahad Datu–Tungku, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa yang datang dari arah Lahad Datu menuju ke Tungku dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan 4WD jenis Isuzu D-Max.

Kenderaan 4WD tersebut dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun bersama tiga penumpang lain termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Kesemua mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, dalam kenyataannya menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kemalangan.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak empat kes kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal telah direkodkan sepanjang bulan ini, yang kebanyakannya berpunca daripada kecuaian sendiri.

Selain itu, beliau juga menyeru pihak berkaitan supaya segera menangani isu jalan berlubang yang boleh mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Sehubungan itu Polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu terutama pada waktu awal pagi yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan.

TAMAT

Share This Article