TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi rondaan pencegahan jenayah di kawasan belakang Pasar Taman Semarak, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 2.20 pagi ketika anggota Balai Polis Tawau menjalankan pemeriksaan ke atas individu yang berkelakuan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek menyerahkan satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat 0.18 gram,” katanya dalam kenyataan.
Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis, katanya, akan terus meningkatkan rondaan dan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti jenayah serta penyalahgunaan dadah di daerah ini.
TAMAT
