TAWAU, 5 Feb – Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan polis selepas didapati positif dadah dalam satu rondaan cegah jenayah di Taman Sentosa, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan Strike Team dari Balai Polis Tawau kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang barang salah, namun lelaki itu ditahan kerana disyaki mengambil dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek turut mengaku pernah menggunakan dadah jenis syabu sebelum ini.
Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan sama, polis turut mengesahkan suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, ugutan dan keganasan rumah tangga.
Jasmin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan rondaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah itu.
TAMAT
