Polis Sandakan Jalankan Ops Pusat Hiburan, Dua Individu Ditahan Disyaki Terbabit Dadah

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 4 Mac – Polis Sandakan melaksanakan operasi khas membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah menerusi Ops Pusat Hiburan dan Ops Tapis Narkotik yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, awal pagi hingga malam semalam.

Operasi yang bermula kira-kira jam 1 pagi hingga 10 malam itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dengan menumpukan pemeriksaan di premis pusat hiburan sekitar Batu 4 serta kawasan Kampung Makalinau, Batu 3.

Dalam pemeriksaan di premis hiburan, seramai 11 individu terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita telah diperiksa. Namun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka negatif daripada sebarang jenis dadah sebelum dibebaskan.

Pada hari yang sama, pasukan operasi turut menahan seorang lelaki warga asing di lokasi berasingan selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu. Suspek ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lelaki terbabit kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan bersama seorang wanita yang ditahan oleh Pasukan Polis Marin Sandakan di Kampung Pulau Tanjung Batu Laut bagi kesalahan di bawah seksyen sama.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine sebelum turut ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Wanita terbabit pula didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.

Operasi berkenaan dilaksanakan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman dalam mempergiat usaha memerangi kegiatan berkaitan dadah di daerah ini.

TAMAT

Share This Article