SANDAKAN, 29 Jan : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan bertindak segera menangani kejadian pokok tumbang berhampiran NAK Hotel, Bandar Sandakan, selepas menerima laporan orang awam pada pagi Khamis.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapt (PA) Sulaiman bin Salama memaklumkan kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan tiupan angin kencang yang melanda kawasan terbabit, mengakibatkan sebatang pokok hiasan tumbang dan merosakkan dua buah kenderaan, masing-masing sebuah pacuan empat roda serta sebuah kereta persendirian.
Susulan laporan tersebut, Pasukan Kesiapsiagaan Operasi Daerah (PKOD) Sandakan telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok dengan menggunakan peralatan khas serta pemakaian kelengkapan keselamatan lengkap.
Kerja pembersihan berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat dan kawasan kejadian disahkan selamat sebelum operasi ditamatkan. Tiada kecederaan dilaporkan sepanjang kejadian.
TAMAT
