KUALA LUMPUR, 29 Januari 2026 – Usaha Kerajaan memperkukuh tadbir urus dan integriti dalam proses perolehan terus diperkasakan menerusi pemeteraian Surat Persefahaman (LoU) antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Anjung Singgahsana, Menara DBKL 1, hari ini.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali, bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Puan Hannah Yeoh, sekali gus menzahirkan komitmen Kerajaan dalam membanteras amalan anti-persaingan, termasuk kegiatan kartel serta pakatan penipuan bida dalam perolehan awam.
LoU tersebut dimeterai oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, dan Pengerusi MyCC, Tan Sri Dato’ Sri Idris Harun, sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak.
Melalui perjanjian ini, MyCC dan JWP akan bekerjasama dalam menyediakan khidmat nasihat serta laporan penilaian awal berkaitan risiko tipuan bida, melaksanakan program latihan berkala kepada pegawai perolehan, selain memberi pandangan profesional mengenai isu persaingan dan pengurusan risiko dalam proses perolehan Kerajaan. Kerjasama ini dijangka menyumbang kepada sistem perolehan yang lebih telus, berdaya saing dan berintegriti.
TAMAT
