KOTA KINABALU, 30 Jan 2026 – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mempergiat usaha pembersihan bandar raya dengan melaksanakan operasi menyeluruh melibatkan kawasan daratan dan perairan sebagai langkah berterusan memperkukuh tahap kebersihan serta kelestarian bandar.
Menerusi operasi yang dijalankan dari 18 hingga 27 Januari lalu, sebanyak 207 tan sisa berjaya dikutip di kawasan laut, sungai dan persisiran pantai termasuk kawasan kepulauan serta perkampungan pesisir. Daripada jumlah itu, 60 tan melibatkan sampah terapung di perairan laut yang dibersihkan menggunakan bot khas dan skimmer.
Di daratan pula, DBKK menumpukan pematuhan jadual kutipan sampah, penyelesaian aduan awam serta pembersihan tapak pelupusan haram. Sepanjang tempoh sama, 56 Ops Bersih dilaksanakan di sekitar pusat bandar dengan 127 kompaun dikeluarkan atas kesalahan pembuangan sampah, melibatkan kutipan denda berjumlah RM2,540.
Usaha pembersihan turut dipertingkat di kawasan tumpuan pelancong dan lokasi awam bagi memastikan persekitaran kekal bersih dan selesa, dengan kira-kira 71 tan sampah haram berjaya dilupuskan.
Bagaimanapun, DBKK memaklumkan masih terdapat segelintir individu yang tidak mematuhi peraturan pengurusan sisa, termasuk meninggalkan sisa makanan di kawasan awam serta melupuskan sisa pukal secara tidak terkawal, sekali gus menyebabkan lambakan sampah.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar menggunakan rumah sampah hanya untuk sisa domestik harian, manakala sisa pukal dan sisa kebun hendaklah diurus melalui perkhidmatan berlesen, aplikasi iBersih atau dihantar terus ke tapak pelupusan yang dibenarkan.
Sebagai sokongan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) DBKK turut melaksanakan Program iBersih Turun Padang Bersama Komuniti, melibatkan tiga siri kunjungan ke lebih 2,100 kediaman bagi memberi penerangan berhubung pengurusan sisa secara berhemah.
DBKK menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha pembersihan secara berterusan, namun menekankan bahawa kejayaan inisiatif tersebut memerlukan kerjasama semua pihak demi menjamin kesejahteraan dan kelestarian Bandaraya Kota Kinabalu.
TAMAT
