KINABATANGAN, 10 Januari – Persefahaman antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Barisan Nasional (BN) diperlihatkan hari ini.
Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) salah satu komponen dalam GRS, bahagian Sukau dan Lamag turut hadir bagi memberikan sokongan kepada calon BN untuk DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan di sini.
Datuk Juhari Janan mengetuai PGRS Sukau manakala PGRS Lamag diketuai oleh Abdul Bakar Gapar.
Kedua-duanya mengiringi calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan, Naim Moktar serta calon DUN Lamag, Mohd Ismail Ayub, pada proses penamaan calon hari ini.
Turut sama wakil PGRS Kuamut.
Kehadiran pimpinan dan jentera PGRS itu mencerminkan sokongan GRS terhadap calon BN, selaras dengan keputusan Ketua Menteri Sabah bahawa GRS tidak meletakkan calon dalam kedua-dua PRK berkenaan.
Langkah itu diambil bagi memberi laluan kepada BN yang merupakan rakan kerjasama dalam kerajaan negeri Sabah.
PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Proses penamaan calon berlangsung dalam suasana teratur dengan kawalan keselamatan serta pemantauan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar dan mengikut peraturan.
TAMAT
