sh@ Syamilah Salleh
KENINGAU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Batu 11, Jalan Keningau ke Sook, malam tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.27 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.
Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 9.47 malam dengan kekuatan sembilan anggota yang diketuai oleh PBK I Raizaain AG Damit.
Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori dan Perodua jenis Alza. Pemandu itu didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri, manakala pemandu lori dilaporkan selamat serta telah dikeluarkan oleh orang awam tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Anggota bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan Hydraulic Power Unit.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 11.13 malam dan tamat pada jam 11.18 malam.
Tamat
