KOTA KINABALU, 3 DIS 25 — Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta untuk meletak jawatan ekoran pencapaian buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah baru-baru ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Yunus Nurdin berkata Muhyiddin wajar bertanggungjawab terhadap kekalahan parti tersebut.
Bersatu merupakan salah satu parti komponen dalam Perikatan Nasional hanya satu kerusi menerusi parti PAS.
Dalam sidang medianya, Yunus mendakwa Muhyiddin gagal menggerakkan sokongan serta bantuan mencukupi kepada jentera PN Sabah sehingga memaksa sebahagian besar calon menanggung beban kewangan sendiri ketika berkempen.
“Kita cuma minta untuk jentera kita saja… kos saja. Ada di kalangan calon-calon kami terpaksa bergadai kereta, rumah, dan sekarang hampir semua berhutang.
Berhutang bukan untuk individu kita berhutang sebab mahu perjuangkan parti ini. Tetapi apa balasan Presiden untuk kami?” katanya.
Yunus yang juga calon PN di N.50 Gum-Gum turut menegaskan bahawa Muhyiddin harus bertanggungjawab secara langsung atas kekalahan besar gabungan itu.
“Insan yang bertanggungjawab atas kekalahan ini… Presiden parti itu sendiri. Sebab itu kita mendesak untuk dia letak jawatan,” tegasnya.
Beliau dalam masa sama menolak cadangan bahawa kumpulan calon kecewa perlu meninggalkan parti, sebaliknya menegaskan mereka adalah golongan yang paling teraniaya dalam perjuangan kali ini.
“Kenapa kami yang perlu keluar parti? Kami yang teraniaya. Kami yang buat parti ini dengan duit sendiri. Kenapa harus kami yang berundur? Orang yang salah yang patut berundur. Kami salahkan 100% kepada presiden dan dialah yang patut berundur.”
Yunus menegaskan bahawa lebih 20 bahagian Bersatu Sabah bersedia mengambil tindakan serentak sekiranya kepimpinan pusat cuba mengenakan tindakan disiplin terhadap mereka.
“Bila ada tindakan disiplin diambil, kami tidak teragak-agak untuk hancurkan Bersatu di Sabah. Kami akan meletakkan jawatan serentak dan akan lumpuhkan badan pimpinan. Kami sayangkan parti, tapi kalau kita tidak buat begini, selama-lamanya parti akan dipimpin oleh orang yang tidak betul.”
Semalam, calon muda PN di DUN Tanjung Kapor, Mohamad Affan Jumahat, turut menyuarakan kekecewaan terhadap presiden itu yang didakwanya gagal memimpin dan menjadi salah satu punca kekalahan terburuk PN di Sabah.
TAMAT
