KINABATANGAN, 10 Jan – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru, manakala PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menjadi pertandingan satu lawan satu selepas proses penamaan calon berakhir pagi tadi di Dewan Sri Lamag, di sini.
Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, calon Barisan Nasional (BN), Naim Kurniawan Moktar, akan berdepan cabaran daripada calon Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman serta calon Bebas, Goldam Hamid, seorang peguam.
Sementara itu, bagi kerusi DUN Lamag, pertandingan hanya melibatkan dua calon iaitu calon BN, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha, dan calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek Chua.
Tiada calon lain mengemukakan kertas pencalonan sebelum tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Eddy Syaizul Rizam Abdullah, berkata proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden dan pengumuman rasmi akan dibuat selepas semua prosedur berkaitan selesai.
Hari pengundian bagi kedua-dua PRK itu ditetapkan pada 24 Januari, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 20 Januari.
TAMAT
