Polis Tahan Lelaki, Rampas Syabu Lebih 100 Gram di Jeti Lahad Datu

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki tempatan serta merampas dadah disyaki syabu seberat 103.76 gram dalam satu operasi khas di kawasan jeti awam Lahad Datu, semalam.

Tangkapan dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu ketika menjalankan Op Tapis selepas mengesan gerak-geri mencurigakan suspek di lokasi berkenaan.

Hasil pemeriksaan menemui tiga paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih dipercayai syabu dengan anggaran nilai rampasan kira-kira RM11,413.60. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi urusan pengedaran.

Suspek berusia 26 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Dalam operasi sama, polis turut menyita sebuah bot bersama enjin sangkut yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Polis memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian serta pembekal dadah yang terlibat.

TAMAT

Share This Article