Polis Tahan Dua Lelaki Filipina, Rampas Minyak Petrol Disyaki Diseludup

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 31 Disember 2025 — Polis menahan dua lelaki warga Filipina dan merampas sejumlah besar minyak petrol dipercayai cuba diseludup ke Filipina dalam satu rondaan cegah jenayah di perairan Pulau Bum Bum, di sini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Pulau Bum Bum menahan sebuah bot kayu yang mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan sebuah bot kayu bersama enjin Yamaha 200HP dua lejang, 90 jerikin minyak petrol bersamaan 2,250 liter serta dua jerikin minyak petrol bercampur minyak 2T.

Menurutnya, nilai keseluruhan minyak petrol yang dirampas dianggarkan berjumlah RM5,760 berdasarkan harga pasaran semasa dan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

Beliau menegaskan IPD Semporna tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan penyeludupan dan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman perairan daerah itu.

TAMAT

Share This Article