KOTA KINABALU,24 SEPT – Lebih 10 juta carian berkaitan Sabah direkodkan di platform digital REDnote (Xiaohongshu) di China, mencerminkan potensi besar untuk memperkukuh promosi negeri itu sebagai destinasi pelancongan pilihan pasaran China.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata dalam perkongsiannya di Facebook miliknya antara kandungan berkaitan Sabah yang paling popular dalam carian pengguna platform berkenaan ialah matahari terbenam, gunung, keindahan laut serta makanan laut segar.
Menurutnya, beliau berpeluang mengadakan lawatan ke REDnote antara platform digital utama di China bagi meneroka peluang kerjasama dalam memperkukuh promosi pelancongan Sabah.
Katanya, jumlah carian berkenaan menunjukkan minat terhadap Sabah dalam kalangan pengguna digital di China sememangnya sudah wujud.
“Angka ini menunjukkan minat terhadap Sabah sudah ada. Kini, kita mahu menterjemahkan minat digital ini kepada kunjungan sebenar,” katanya dalam perkongsian itu.
Jafry berkata, Sabah kini meneroka kerjasama lebih strategik dengan REDnote bagi memperkukuh promosi negeri itu di pasaran China menjelang Visit Sabah 2027.
Menurutnya, platform digital berkenaan boleh dimanfaatkan untuk mengetengahkan keunikan dan daya tarikan Sabah kepada bakal pelancong sekali gus membantu menghubungkan minat pengguna kepada pengalaman sebenar di negeri ini.
Usaha berkenaan diharap dapat meningkatkan keterlihatan Sabah dalam kalangan pelancong China serta mendorong mereka menjadikan negeri itu sebagai destinasi pilihan untuk dikunjungi.
“Dari carian.. kepada pilihan akhirnya ke Sabah. Visit Sabah 2027,” katanya.
