KOTA KINABALU, 28 Disember — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot penumpang yang mencurigakan dalam operasi pemeriksaan rutin di perairan Kota Kinabalu, kira-kira 1.01 batu nautika barat laut Tanjung Lita, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang juragan bersama dua kru yang dipercayai warganegara Filipina masing-masing berusia antara 14 hingga 39 tahun.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit gagal mengemukakan pasport, dokumen perjalanan atau permit yang sah ketika diminta oleh pihak berkuasa.
“Susulan itu bot bersama juragan dan kru telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan nilai keseluruhan rampasan aset dianggarkan berjumlah kira-kira RM30,000.
Dalam perkembangan sama Maritim Malaysia menegaskan komitmen untuk terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
TAMAT
