151 Kanak-kanak Sertai Majlis Berkhatan Perdana di Putatan

sabahheadlines
1 Min Read

PUTATAN-27 Dis, Seramai 151 kanak-kanak menyertai Majlis Berkhatan Perdana sempena cuti sekolah yang berlangsung di lima lokasi sekitar daerah ini dengan sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan masyarakat setempat.

Program tahunan anjuran bersama Pejabat Parlimen Putatan itu diadakan di Masjid Daerah Putatan, Masjid Kariah Sembulan, Masjid Nur Al Jannah Kampung Petagas, Surau PPR Sri Keramat dan Masjid Puncak Taqwa, Kinarut.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Tanjung Keramat, Tuan Shah Alfie bin Yahya di Masjid Daerah Putatan dengan objektif memudahkan pelaksanaan tuntutan agama selain meringankan beban kewangan ibu bapa.

Pelaksanaan berkhatan secara percuma itu turut mendapat sokongan petugas perubatan serta sukarelawan komuniti sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat dalam menjayakan inisiatif kebajikan demi kesejahteraan rakyat.

TAMAT

Share This Article