LAHAD DATU, 28 Disember — Seorang wanita berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Silam berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Silam, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.29 petang itu,kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner dan Perodua Axia yang dipercayai bertembung.
Ketua Balai Lahad Datu,
Sumsoa Bin Rashid berkata pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum tiba di lokasi kejadian pada jam 2.52 petang selepas menempuh jarak sejauh 24 kilometer.
“Seramai enam mangsa terbabit dalam kemalangan tersebut. Lima mangsa berada dalam kenderaan Toyota Fortune manakala maklumat mangsa dari Perodua Axia masih belum diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, seorang mangsa wanita yang tersepit di dalam Toyota Fortuner berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan jentera EMRS.
Bagaimanapun seorang lagi mangsa wanita berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selain itu tiga mangsa wanita lain mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM manakala seorang lelaki yang merupakan pemandu kenderaan turut mengalami cedera ringan,” katanya.
Operasi melibatkan seramai tujuh anggota bomba dengan bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dua pegawai KKM.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.20 petang sebelum ditamatkan sembilan minit kemudian sebaik sahaja pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
TAMAT
